Friday, September 30, 2011


Artikel ini ditulis untuk diterbitkan dalam MAIS News keluaran Jun 2011.

PERINGKAT INISIATIF-INISIATIF TRANSFORMASI

Mohd Affendi Bin Othman

Perunding

AKADEMI AIDIT SDN. BHD.

Wawasan untuk menjana gerakan penambahbaikan yang lebih serius telah melonjak identiti MAIS ke satu mercu yang lebih tinggi. Cita-cita murni yang diharapkan ialah agar MAIS mampu menjadi sebuah organisasi Islam yang ikonik dan berperanan teguh sebagai kustodian ummah. Justeru, bertitik tolak dari hasrat tersebut maka lahirlah agenda Pelan Transformasi MAIS yang menterjemahkan gambaran usaha perubahan ke arah yang lebih baik tidak pernah sunyi dari institusi ini.

Dalam mendukung usaha perubahan berskala besar yang terarah dan bertahap ini, perencanaan pelan transformasi mesti dimulakan dengan pembentukan mekanisme inisiatif yang mampu menjana usaha transformasi dengan lebih berkesan. Inisiatif adalah elemen penting yang perlu ada dalam setiap usaha transformasi dan ia umpama booster yang boleh meningkatkan kuasa serta menjana pelbagai hasil sampingan. Secara umumnya, inisiatif boleh dimaksudkan sebagai satu langkah yang hendak dimulakan dalam melakukan sesuatu perkara dan ia berkemampuan untuk mencipta langkah-langkah lain. Ia menjurus pada penjanaan hasil dinamik, menjadikan tindakan lebih hebat dan boleh membina sesuatu ke tahap natijah yang lebih baik.

Bagi memudahkan pemahaman dan rujukan langsung berkaitan inisiatif ini, contohnya boleh didapati dalam Pelan Transformasi MAIS. Setiap fungsi teras pelan transformasi diperincikan dengan beberapa inisiatif bagi mencetus tindakan hasil berganda. Sebagai contoh, untuk fungsi teras BIAH (persekitaran), di bawahnya terangkum tiga inisiatif yang menjadi tema kepada fungsi teras BIAH tersebut iaitu program pembudayaan ilmu, program ihya’ kod etika dan pengiktirafan 5S. Inisiatif-inisiatif inilah yang bakal mencorakkan program-program lain sehingga ia mampu membentuk suasana organisasi di MAIS.

Inisiatif yang strategik amat diperlukan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik dan kesan yang berpanjangan. Konsep inisiatif secara lebih mendalam boleh dilihat dari sudut gesaan Allah S.W.T. dalam al-Qur’an, amalan dalam sunnah Rasulullah S.A.W. dan pemerhatian langsung pada fitrah alam ciptaan Allah. Dalam surah Muhammad, Allah S.W.T. berfirman :

“Dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta beriman kepada Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. - yang ialah kebenaran dari Tuhan mereka, - Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, dan menjayakan keadaan mereka (di dunia dan di akhirat)”.

(Surah Muhammad : 2)

Segi pemahaman konsep inisiatif, ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa untuk mendapat keampunan Allah serta kejayaan dunia dan akhirat, kita sebagai muslim yang beriman perlu menggerakkan inisiatif utama iaitu beramal soleh dan beriman dengan al-Qur’an. Di sini, ciri-ciri inisiatif yang dapat disimpulkan ialah ia mesti mampu memenuhi ciri-ciri dan keperluan utama.

Selain itu, Allah S.W.T. turut berfirman :

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya”.

(Surah al-Baqarah : 261)

Perumpamaan yang cukup jelas telah diberikan Allah S.W.T. tentang bagaimana satu inisiatif yang berkualiti iaitu sedekah ikhlas di jalan Allah mampu menjana ganjaran yang berlipat kali ganda dari sudut balasan pahala. Iktibarnya ialah, sesuatu inisiatif yang berkesan semestinya mampu membawa pelbagai manfaat dan maslahah.

Dalam sirah junjungan mulia Rasulullah S.A.W. pula, antara contoh tindakan baginda yang mewujudkan inisiatif demi memungkinkan hasil yang lebih berimpak ialah pembinaan masjid Quba’ semasa peristiwa hijrah. Itulah masjid pertama dalam Islam yang didirikan atas dasar ketaqwaan. Masjid adalah simbol inisiatif untuk penyatuan dan sanctuary kekuatan ummah. Selain itu, baginda turut mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar. Pelaksanaan inisiatif yang amat signifikan ini bukan sahaja menyelesaikan isu bersifat jangka pendek semata-mata tetapi merupakan titik tolak strategik ke arah kewujudan sebuah negara Islam dan pengukuhan dakwah serta kekuatan umat Islam.

Selain itu, dalam memahami konsep inisiatif yang bermakna, kita juga boleh mengambil pengajaran dari alam dan makhluk Allah. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

(Surah al-Nahl : 68-69)

Lebah adalah antara makhluk yang digunakan namanya sebagai nama surah di dalam al-Qur’an. Iktibar inspirasi lebah kepada manusia segi inisiatif ialah lebah merupakan antara makhluk yang menjana pelbagai bentuk hasil. Inisiatif lebah bekerja keras hinggap ke bunga-bungaan telah menghimpunkan madu yang mempunyai pelbagai manfaat, menghasilkan lilin yang berguna untuk rawatan kulit, bahkan sarang mereka menjadi ilham kepada arkitek dan jurutera. Hasil inisiatif lebah relevan dalam pelbagai bidang.

Setelah mengamati sorotan ayat Allah, sirah baginda junjungan dalam peristiwa hijrah dan hikmah di sebalik makhluk kecil bernama lebah, jelas kepada kita bahawa perkataan inisiatif mempunyai nilai dan kepentingan yang tersendiri. Ia bukan sekadar senang diungkap di mulut tetapi perlu dibuktikan dengan tindakan khususnya dalam merencanakan agenda yang besar seperti usaha transformasi. Inisiatif adalah elemen penting yang menentukan keupayaan agenda transformasi. Oleh itu, dalam merangka pelan transformasi, pewujudan inisiatif yang strategik perlu diberikan perhatian.

Inisiatif-inisiatif perencanaan transformasi hendaklah digubal sesuai dengan darjah impak tertentu agar sesuatu inisiatif tidak bersifat jumud tetapi sebaliknya mampu mencetus inisiatif impak berganda yang lain. Analogi “from rock to rockets” dalam evolusi teknologi persenjataan adalah gambaran yang cukup sesuai. Jadi, sesuatu inisiatif yang hendak diwujudkan hendaklah menepati darjah impak yang akan dihuraikan di bawah ini.

Pelaksanaan transformasi perlu dimulakan dengan inisiatif-inisiatif yang bersifat pewujudan. Ini bermaksud inisiatif yang direncanakan mestilah mampu mencernakan sesuatu yang kekal dan bukannya sesuatu yang sementara atau ad-hoc semata-mata. Rangkuman pewujudan ini boleh meliputi pemantapan unsur sedia ada atau penambahan usaha baru yang berimpak bagi memperkemaskan lompangan yang sedia wujud.

Selain itu, selepas diyakini inisiatif yang direncanakan boleh menjana sesuatu yang kekal, ia juga mesti dapat menjadi pemangkin cetusan kepada perkara-perkara nilai tambah yang lain. Sasaran sesuatu pemangkin ialah mampu mewujudkan spin-offs atau putaran-putaran sampingan yang boleh ‘menggemakan’ lagi perencanaan usaha transformasi. Contoh pemangkin hasil sampingan ini boleh digambarkan dalam situasi inisiatif program pembudayaan ilmu yang akan mencetuskan semangat cinta pada ilmu, penghasilan kerja yang berkualiti, usaha meningkatkan tahap kemahiran selain membina kemampuan menganalisis situasi secara berfakta. Impak maksimum dari hasil sampingan ini ialah MAIS mampu melonjak menjadi sebuah organisasi Islam yang berteraskan ilmu.

Pemangkin-pemangkin yang terhasil dari inisiatif awalan tadi mesti disasarkan untuk menjadi indikator pencapaian yang boleh digunakan untuk mengukur prestasi organisasi. Ukuran prestasi amat diperlukan dalam menentukan jurang sasaran organisasi dengan tahap pengamalan semasa selain mengenalpasti kedudukan organisasi berbanding harapan masyarakat. Hasrat utama indikator pencapaian ini ialah untuk memastikan pendukung dan organisasi sentiasa kekal objektif dalam pelaksanaan amanah mereka.

Seterusnya, usaha gigih perlu digarap untuk memastikan indikator pencapaian tadi dimantapkan lagi sehingga menjadi standard atau piawaian yang menjadi identiti amalan organisasi. Pengamalan piawaian dalam setiap elemen organisasi ini pula perlu disuburkan lagi hingga menjadi budaya dan faktor tetap yang terpasak kukuh dalam jati diri organisasi serta seluruh warganya. Usaha perlu digembleng untuk memastikan faktor tetap ini mampu saling berasimilasi antara satu sama lain membentuk jalinan mantap yang meresap ke dalam empat dimensi rohani, akal, emosi dan jasmani warga organisasi. Asimilasi ini ibarat segenap jenis akar pokok yang akan memperkukuhkan ketahanan pokok ketika dilanda badai dan juga susunan batu bata yang dilepa rapi dengan simen hingga membentuk sebuah bangunan yang kukuh.

Proses binaan inisiatif perlu mencapai darjah impak standard tertinggi agar ia mampu melahirkan ikon samada dari sudut hasil kerja, manual prosedur kerja, tenaga penggerak, pemikiran, suasana mahupun imej organisasi itu sendiri. Sasaran ikon ini bukan bertujuan untuk bermegah tetapi untuk menghargai potensi kecemerlangan yang disarankan oleh agama Islam dan sewajarnya MAIS mendukung ikon kecemerlangan sesuai dengan statusnya sebagai sebuah organisasi Islam. Hasrat perencanaan inisiatif hingga ke tahap menjadi ikon ini amat penting supaya ia mampu menjana inisiatif baru yang lebih berinovasi dan berefikasi.

Kesimpulannya, implikasi kejayaan usaha transformasi terletak pada perencanaan inisiatif yang bersifat praktikal, realistik, boleh dicapai, boleh diukur dan dilaksanakan dalam tempoh yang sesuai. Di samping itu, ia mesti menepati darjah impak sebagaimana yang telah dibincangkan di atas agar usaha yang dikerah bukan sekadar memenuhi kebiasaan tetapi menepati tanda aras tertentu yang boleh meningkatkan kredibiliti dan tahap profesionalisme. Justeru, bagi merangka inisiatif yang berkesan serta berimpak, penggerak transformasi perlu memiliki persediaan yang ampuh khususnya segi persediaan standard dan kemampuan diri, pemahaman yang jelas tentang hala tuju organisasi, perencanaan wawasan yang strategik serta penghayatan yang mendalam terhadap jangkaan senario yang bakal dihadapi. Persediaan ampuh ini adalah bukti di hadapan Allah bahawa kita telah berusaha sebaik mungkin demi manfaat agama dan maslahah ummah. Firman Allah S.W.T. :

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;”

(Surah an-Najm : 39)

No comments:

Post a Comment