Monday, March 5, 2012

KEMBALI KEPADA FITRAH

-dipetik dari hasil tulisan USTAZ MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY-

Fitrah

  • Fitrah dalam erti kejadian asal insan sebagaimana asalnya sebagaimana yang terkandung dalam maksud hadith "Setiap orang bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci bersih; kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia yahudi ... (dan seterusnya)"

  • Dan dalam erti sebagaimana yang terkandung dalam ayat yang bermaksud: "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada ugama Allah (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" (Surah ar-Rum: Ayat 30).

Erti Kembali Kepada Fitrah

  • Kembali kepada akidah yang betul dan benar dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang datang dari Nabi s.a.w.

  • Kembali kepada mengabdikan diri kepada Allah dalam seluruh kegiatan hidup sebagaimana yang terkandung dalam iftitah dalam sembahyang: "Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir sekelian alam".

  • Kembali kepada kehidupan menjaga suruhan-suruhanNya dan menjauhi larangan-laranganNya yang semuanya berupa batasan-batasan sesuai dengan fitrah kejadian asal dirinya.

  • Kembali kepada sifat-sifat manusia yang bersih sesuai dengan fitrah asal bagi dirinya.

  • Dengan kembali kepada sifat-sifat yang sesuai dengan fitrah itu maka manusia mencapai keselamatan hidupnya, kejayaan sebenarnya, kebahagiaan dan kepuasan serta makna hidupnya.

  • Yang berlawanan dengan itu adalah kebalikan daripada semuanya itu: kecelakaan, kegagagalan hakiki, penderitaan, rasa tidak puas, ketiadaan makna hidupnya.

Sifat-sifat Kembali Kepada Fitrah

  • Kembali kepada sifat-sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana suruhan Allah bermaksud "Sesungguhnya bagi kamu ada contoh yang sebaiknya pada Rasulullah …" (Surah al-Ahzab: Ayat 21).

  • Iaitu mengenali dan menghayati sifat sidik - ertinya benar dalam niat, azam, perbuatan, janji, matlamat.

  • Iaitu mengenali sifat amanah dalam semua perkara dan tidak melakukan pengkhianatan dalam semua perkara. (Dalam usuluddin amanah merujuk kepada sifat tidak melakukan dosa; dalam akhlak merujuk kepada sifat menjaga amanah dalam segala perkara: berhubungan dengan Tuhan, diri sendiri, orang lain, pekerjaan, tugas-tugas.)

  • Amanah perlu dikenali kedudukannya sebagai sifat yang mentakrifkan manusia sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat 72 Surah al-Ahzab yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami bentangkan AMANAH kepada langit dan bumi dan bukit bukau, tetapi semuanya tidak mahu memikulnmya kerana takut kepadanya, walhal manusia memikulnya; ia zalim lagi jahil (bila ia mengkhianati amanah dalam hidupnya);

  • Bila amanah dilihat sebagai sifat yang mentakrifkan manusia maka pengkhianatannya merupakan sesuatu yang menjatuhkan darjah kemanusiaannya;

  • Dalam tafsir-tafsir “amanah” itu metrujuk kepada kewajipan-kewajipan dalam agama; seperti rukun Iman dan rukun Islam; kewajipan-kewajipan dalam akhlak dan muamalah; pergaulan; pekerjaan;

  • Tabligh atau sifat menyampaikan maklumat yang betul dan benar serta berfaedah - ini perlu dilakukan dalam hubungan dengan diri sendiri, keluarga, jiran, termasuk rakan sejawat dan seterusnya.

  • Tabligh boleh menjangkau persoalan dalam zaman teknologi maklumat. Ertinya maklumat hendaklah disampaikan kepada sasarannya, baik yang bersifat keagamaan atau yang bersifat bukan keagamaan.

  • Sifat fatanah atau kebijaksanaan dalam erti sifat memahami persoalan-persoalan yang dihadapi dalam hendak mempertahankan kebenaran agama sehingga kebenarannya boleh dipertahankan dengan berkesan, sampai kepada perkara-perkara lain yang menjadi kewajipan manusia memahami dan menghayatinya.

  • Ertinya manusia Muslim mesti mempunyai “fatanah” dalam hubungan dengan ajaran untuk menjayakan kedudukannya sebagai “khalifah Tuhan di bumi dan hambaNya” dalam semua urusan hidupnya, termasuk ibadatnya, akhlaknya, etika kerjanya, tadbirannya, pengurusannya, demikian seterusnya.

Ilmu, Hal Diri dan Amalan

  • Dalam ajaran Imam al-Ghazali rd manusia mengalami perubahan kepada kebaikan melalui tiga tahap:

    • ILMU

    • HAL KEADAAN DIRI

    • PERBUATAN

  • Ilmu ertinya seseorang itu mesti mengetahui dengan jelas konsep yang dibicarakan, katakanlah sifat amanah; apa ertinya amanah itu; apa kelebihan-kelebihannya; apa tanda-tandanya; apa kerugian-kerugian yang dialami kalau disia-siakan; apa akibat duniawinya; apa akibat ukhrawinya; apa akibat individunya; apa akibat korporat dan kolektifnya.

  • Hal keadaan diri ertinya perubahan yang berlaku dalam jiwa, fikiran dan hati seseorang hasil daripada pencerahanyang berlaku kerana ilmu yang memasuki dirinya itu; perubahan dalaman yang berlaku itu - seperti kain yang diwarnai oleh sesuatu warna yang dikehendaki - menyebabkan sifat amanah itu meliputi diri dan jiwa orang yang berkenaan

  • Amalan ertinya dengan adanya perubahan dalaman hasil pencerahan ilmu yang bermula sebagai konsep dalam minda dan hati serta fikiran itu menimbulkan kesan amalan pada anggota badan - percakapan pada lidah, gerak pada kaki tangan dan tindakan seterusnya.

  • Ertinya prinsip dan nilai amanah dalam diri itu menyebabkan perbuahan yang menyebabkan pula timbul perbuatan amanah dalam diri seseorang itu; dengan itu berlakulah amanah dalam hubungan dengan ibadat kepada Allah, perlaksanaan tugas kepada anak isteri, perlaksanaan amanah kepada pihak yang berkenaan dan amanah dalam hubungan dengan tugas-tugas serta etika kerjanya.

  • Dan kalau merata sifat ini berlaku dalam sesuatu institusi maka amanah itu terjelma sebagai budaya korporat di mana ianya berada. Demikian seterusnya.

  • Demikian seterusnya dengan semua sifat-sifat utama yang lain.

  • Atau boleh dilihat pengembalian kepada fitrah dalam erti akhak ini merujuk kepada empat ibu kesempurnaan:

    • Hikmah kebijaksanaan yang merujuk kepada kesempurnaan dalam ilmu dan kefahaman yang diperlukan

    • Pengawasan diri yang menimbulkan disiplin terhadap diri yang membawa kepada semua perbuatan dilaksanakan mengikut ilmu dan akal dan bukan perasaan dan keinginan, bahkan keinginan dikawal dan ditarbiahkan

    • Keberanian atau keperwiraan dalam erti semuanya berlaku dalam rangka usaha perjuangan yang gigih tanpa penat lelah

    • Keadilan dalam erti semua diletakkan pada tempat letaknya yang sebenarnya.

  • Inilah pengembalian kepada fitrah dalam akhlak dan amalan perbuatan serta sikap manusia yang menjayakan, menyelamatkan, membahagiakan, serta memberikan makna bagi seluruh hidup dan wujud manusia di dunia.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment