Wednesday, September 9, 2009

KUASA MINDA : TAQDIR ALLAH : USAHA MANUSIA


Apabila kita membaca hasil penulisan masyarakat barat tentang kuasa minda atau mind power, kita diberi paparan bahawa minda kita adalah sesuatu yang maha hebat yang boleh mengatasi apa-apa halangan yang ditempuhi dengan syarat kita perlu fokus. Tetapi sebagai umat Islam yang memiliki aqidah yang murni, kita juga perlu faham bahawa kehebatan minda kita adalah terbatas atas dasar kita sebagai makhluk Allah. Jangan kita takbur atau berasa besar diri dengan kehebatan, ilmu dan kepintaran yang kita miliki. Nanti kelak, kita akan terperosok mengikut jejak langkah Fir'aun, Qaruun, Namrud dan sekutu-sekutu mereka. Juga jangan tercetus di hati bahawa kehebatan minda kita mampu melawan taqdir yang ditetapkan Allah S.W.T. Ini menyebabkan ada sesetengah pihak berpendapat bahawa percaya kepada KUASA minda boleh membawa kepada syirik. Na'uzubillah...

Namun, dari satu sudut yang lain, kita dituntut untuk meneroka potensi diri dan menghargai anugerah akal dan minda yang diberikan Allah. Jika kita menggunakan potensi diri, akal dan minda ke arah kebaikan yang diizinkan Allah maka kita menggunakan satu sudut dari kurnian Allah yang menjadikan kita sebagai sebaik-baik kejadian. Tetapi sebaliknya jika kita gagal menggunakan nikmat akal dan minda untuk meneroka potensi diri bagi mendekatkan diri kepada Allah, maka janji Allah kita akan dikembalikan ke serendah-rendah tahap kejadian.

Justeru, sebagai umat Islam kita wajib mengimani rukun Iman yang keenam iaitu percaya kepada qada' dan qadar yang ditetapkan Allah tetapi kita juga dituntut agar tidak hidup dalam keadaan pasrah dan berserah selamanya. Islam menaikkan martabat manusia dengan menilai sesuatu pekerjaan bukan pada hasilnya tetapi ia dinilai pada sebanyak mana usaha digembleng. Oleh itu, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda ”Jika terjadi kiamat dan dalam tanganmu ada sebiji benih, sekiranya mampu tanamlah ia”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Bukhari). Hadis ini jelas menunjukkan kepentingan berusaha walaupun pada logik akal dan keyakinan diri tiada lagi masa untuk melihat hasilnya.

Kesimpulannya, kehidupan adalah sesuatu yang mencabar dan banyak ujian serta dugaan. Manusia dituntut berusaha sebaik mungkin menggunakan nikmat Allah yang diberi untuk mencari yang terbaik di sisiNya. Manusia dituntut untuk berusaha merubah dengan setiap kemampuan yang mereka miliki untuk mencapai keredhaanNya. Oleh itu, pertingkatkanlah apa yang ada pada diri anda (di antaranya kuasa minda) untuk merubah potensi diri sebagai satu usaha untuk menggapai kecemerlangan ke arah mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Firman Allah S.W.T. :
"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."
( Surah al-Ra'd : ayat 11 )


No comments:

Post a Comment