Kekuatan sebuah tamadun yang unggul bermula dari rumah...
Mula-mula saya terus berhajat hendak membeli buku ini dari kedai tersebut namun disebabkan kadar tukaran wang $Brunei dan RM yang besar, saya tangguhkan hajat itu. Lebih baik saya beli di Kuala Lumpur. Mula-mula cari di MPH Great Eastern Jln Ampang tapi saya dimaklumkan sudah kehabisan stok. Hanya ada 2 stok lagi di MPH JUSCO Taman Maluri. Terus saya berkejar ke sana dan dapati hanya ada 1 sahaja di rak pameran MPH JUSCO Taman Maluri.
Saya membeli buku ini pada awalnya adalah untuk kegunaan sendiri. Tapi rakan trainer saya Bro. Allwee mencadangkan supaya saya kongsikan bersama dengan rakan-rakan di Facebook. Lalu memikirkan tentang apa yang saudara Saiful Islam sebutkan "Erti Hidup Pada Memberi", saya kongsikan hasil pembacaan saya ke dalam Facebook agar perbincangan terhasil memberi lebih manfaat kepada semua. Justeru, bagi memudahkan lagi rujukan pada sahabat yang terlepas apa yang saya tulis dalam Facebook atau individu lain yang belum menjadi 'sahabat' saya, maka saya pindahkan apa yang saya tulis dalam Facebook tersebut ke dalam blog ini.
Selamat membaca & selamat mengamalkan jika andainya tulisan ini mempunyai nilai kebaikan.
KEBIASAAN 1 (yang perlu direnungkan) : RAJA YANG TIDAK PERNAH SALAH.
Masa anak kita masih kecil dan sedang belajar bertatih / berjalan, mereka akan terjatuh & mungkin terlanggar sesuatu lalu menangis. Biasanya ibubapa akan memarahi penyebab si anak jatuh dan memukul penyebab itu untuk memujuk si anak. Cthnya : "Papa dah pukul kerusi tu. Dia yang buat adik jatuhkan? Dah, dah. Diam ye"...
Sebenarnya, tanpa disedari kita telah mengajar anak kita bahawa mereka tidak pernah bersalah sebaliknya semua penyebab yang berada di sekelilingnyalah yang bersalah. Pemikiran yang disemai ini akan subur hingga dewasa yang akan membentuk sifat suka menyalahkan orang lain dan sukar untuk menilai kelemahan diri sendiri. Akhirnya, tragedi "Bangau Oh Bangau" yang biasanya dinyanyikan sebagai pengisi kekosongan masa, menjadi satu realiti dalam kehidupan.
Kadang2 situasi kita mengajar anak secara tidak sengaja tentang siapa yang harus dipersalahkan apabila berlaku sesuatu, boleh mengundang sesuatu pada diri kita. Kebiasaan ini boleh menyebabkan anak kita akan mula melawan kata-kata kita. Perilaku melawan ini akan subur tanpa kita menyedarinya bahawa kita telah mengajar mereka untuk tidak pernah merasa bersalah.
Sebaik-baiknya, kita perlu mengajar anak untuk bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Sambil peluk, usap ubun2 dan gosok tempat yang sakit "Along terlanggar dan jatuh tadi ye? Sakit? Nanti abi gosok/tiup ye. Lain kali, jalan baik2, hati2 dan pandang elok2 ye. Baru tak terlanggar lagi".
Biasakan untuk peluk anak kita. Khususnya antara bapa & anak lelaki. Kita sekarang nak peluk ayah sendiri pun rasa malu. Lebih2 lagi budak2 skrg, nak cium tangan ibubapa di khalayak ramai pun malu.
Bila kita dah biasa peluk anak kita, suatu hari nanti mereka x malu untuk peluk kita semula bahkan ia akan jadi satu kelaziman. Semasa peluk anak, bacalah doa yang sesuai pada mereka & bayangkan rasa kasih sayang dalam diri anda. Insya Allah, rahmah hubungan anak & ibubapa akan sentiasa subur.
KEBIASAAN 2 : BOHONG KECIL @ SUNAT DAN YANG SEWAKTU DENGANNYA.Ketika usia masih kecil, anak2 mudah mendengar & menuruti setiap kata dan perintah ibubapa. Tetapi lama kelamaan, situasi ini mula berubah apabila usia mereka meningkat. Mereka susah mendengar nasihat ibubapa dan kurang percaya apa yang diberitahu pada mereka.
Sebenarnya, tanpa disedari, kita sebagai ibubapa mungkin selalu "berbohong" pada si anak apabila kita cuba mengelak dari memenuhi kemahuan dan tuntutan mereka. Kita memilih untuk 'berbohong sunat' bertujuan untuk mengalih perhatian mereka.
Contohnya: Kita sebenarnya ingin pergi sebentar ke kedai runcit. Tapi anak beria-ia untuk mengikut. Lalu kita berkata pada si anak "Papa nak keluar pergi buang sampah sekejap je. Kat luar ada kucing garang. Kalau budak2 ikut sama, nanti dia gigit".
Bila anak tengok, kat tangan si ayah, tak pegang sampah pun. Dan apabila keluar, terus start motor atau kereta.
Satu lagi contoh, ketika sedang suap makanan pada anak. " Kalau tak makan, nanti mama tak bawak along pergi jalan2 kat playground". Padahal, secara logiknya, makan dan keluar jalan2 tiada kaitan logik secara langsung. Lalu mungkin terjadi, jika anak telah makan dengan baik, kita pula tidak berkesempatan untuk bawa anak keluar jalan2.
Kesan dari "bohong sunat" ini ternyata besar. Anak kita tidak akan percaya lagi kepada setiap apa yang kita katakan. Ini kerana anak tidak lagi dapat membezakan pernyataan kita yang mana boleh dipercayai atau tidak. Akibatnya, anak berasa mudah untuk "membetah" kata-kata ibubapanya.
APA YANG PERLU DILAKUKAN: Sentiasalah berlaku jujur pada anak-anak. Jika anak hendak ikut pergi kerja, katakan dengan ikhlas padanya bahawa mereka tak boleh ikut. "Adik tak boleh ikut. Abi nak pergi kerja ni. Kat tempat kerja abi semua 'orang besar'. Kanak-kanak & baby kerja pergi Taska & belajar. Bila abi kerja, abi dapat duit & boleh beli susu adik. Nanti bila hari cuti, adik boleh 'kawan2' dengan abi ye".
Jika anak tetap menangis, jangan bimbang dengan situasi ini. Memang fitrah mereka akan menangis kerana mereka tidak faham apa yang kita katakan. Kita perlu bersabar dan memberikan pengertian pada si anak sentiasa. Hasilnya, setelah beberapa kali, mereka pasti faham dan yang positifnya, mereka betul-betul memahami hakikat sebenar setelah kita jujur kepada mereka.
Yang paling penting, anak2 tidak akan label kita sebagai pem'bohong'.
KEBIASAAN 3 : ANCAMAN.Pada pandangan dan pengamatan si anak, perintah atau larangan yang dikeluarkan oleh ibubapa dengan cara berteriak dalam keadaan yang statik pada sesuatu aktiviti akan dikira sebagai satu ancaman. Lebih-lebih lagi jika terdapat ungkapan di hujung perintah/larangan itu seperti "... nanti papa/mama pukul/marah".
Anak dikurniakan Allah kebolehan untuk menilai rentak dan tingkahlaku manusia. Justeru, bagi seorang bayi, apabila kita memandang mereka dengan wajah yang tenang & sedikit tersenyum, mereka juga turut membalas senyuman kita.
Anak-anak kita amat cekap memerhati rentak perilaku kita sebagai ibubapa malah mereka boleh membezakan antara perbuatan mendidik dan memarahi mereka. Mereka juga mampu untuk mengolah/menukar rentak ibubapa bahkan mengendalikan rentak menurut kehendak mereka. Situasi ini akan menjadi peluang kepada mereka saat kita sering menggunakan ancaman dengan kata-kata tanpa disusuli dengan tindakan seterusnya; yang lebih teruk lagi apabila kita telah lupa dengan ancaman yang telah diucapkan.
Contoh; (ibubapa menjerit sambil menonton tv atau sedang menyapu membersih rumah tanpa melihat/pergi dekat dengan anak yang melakukan kesalahan) "Along, jangan lah berebut dengan adik permainan tu. Kalau adik nangis, nanti papa pukul kamu!" "Adik jangan panjat meja. Tinggi tu. Nanti jatuh. Kalau jatuh, nangis mama tak nak pujuk!" Ni tahap yang lebih ekstrem sikit : "Budak2, jangan gaduh la. Bising la papa nak baca surat khabar ni. Diam! Nanti papa pukul!" (diungkapkan dalam keadaan masih menghadap dan memegang surat khabar)
Bila anak anggap kita hanya beri ancaman, maka mereka boleh buat kesimpulan bahawa kita cakap tak serupa bikin. Itu yang menyebabkan mereka lagi 'kreatif' untuk membuat tindakan yang boleh meningkatkan api kemarahan kita. Tambah2 masa kita letih kepenatan. Mula-mula saya tak tahu juga kesannya. Dan saya juga selalu buat 'taktik' ancaman ni. Tapi bila saya ubah pendekatan, nyata kesannya berbeza & anak lebih mudah menerima arahan kita.
Caranya ialah, hadapkan seluruh badan, perhatian & aura diri kita pada anak tersebut. Renung matanya dan tunjukkan ekspresi bahawa kita tidak suka perbuatan tersebut serta kita tegas dengan pendirian kita. Ia boleh ditambah dengan peneguhan kata-kata yang tegas contohnya : "Along, ummi nak along kongsi mainan ni dengan adik. Kan kita duk kat sini kongsi sama-sama. Ummi sayang along kalau kongsi mainan ni dengan adik". Atau : " Along, kalau tak nak kongsi mainan tu dgn adik, abi akan simpan mainan ni dan along & adik tak boleh main lagi. Mainan ni boleh main semula kalau along nak main sama-sama dengan adik".
Pernyataan yang dikeluarkan perlu selari dengan tindakan yang ditunjukkan. Juga boleh berlaku :- Ayah cakap lain, mak kata lain... Anak buat lain.
KEBIASAAN 4 : PENGGUNAAN PERKATAAN YANG TIDAK TEPAT DAN TIDAK FOKUSKadang-kadang, apabila kita menegur sesuatu perbuatan anak-anak kita hanya menegurnya dengan menggunakan perkataan yang umum. Kita suka memfokus pada perbuatan yang tidak diingini tanpa menjelaskan hal atau tindakan yang sewajarnya kita inginkan.
Contoh : "Papa tak nak lagi abang buat macam ni lagi" "Mama tak suka bila kamu begitu atau begini".
Akhirnya, tanggapan yang diserap oleh anak-anak hanyalah perkara yang tidak disukai oleh ibubapanya.
Apabila ibubapa tidak fokus pada perkara sebenar, anak akan terus mencuba sesuatu yang baru. Tapi, setiap perkara yang dicuba itu selalu dikatakan salah oleh ibubapanya. Apabila confuse, mereka akan berbalik untuk sengaja melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh ibubapanya.
Sebagai perubahan, apa yang harus kita lakukan?
Tegur atau betulkan tindakan yang salah tersebut dan beritahu atau tunjuk perkara dan perilaku yang kita inginkan. Walaupun berulang2. Kalau kita perhatikan, diri kita sendiri mudah belajar setelah mendengar atau buat berulang2 kali walau amat susah paada permulaannya. Teruslah berkomunikasi secara intensif dan tunjukkan dengan contoh perbuatan supaya anak faham apa yang kita inginkan.
Bila mereka dah berjaya buat perubahan sebagaimana yang kita inginkan, ucapkanlah terima kasih atau tunjukkanlah penghargaan dan tanda sayang kita pada mereka. Jangan kedekut dalam bab ini. Sifat manusia memang suka dipuji. Walaupun dia adalah kanak-kanak!... Ia sekaligus mengajar anak kita menghargai sesuatu dan tidak takut melakukan perubahan demi kebaikan.
KEBIASAAN 5 : MEMBERI PENEKANAN PADA PERKARA YANG SALAHKebiasaan ini hampir sama dengan kebiasaan 4. Kebiasaannya kita kadang-kadang mengeluh dengan tingkahlaku anak-anak yang tak mahu mendengar kata dan selalu bertengkar. Dan kita letih kerana perlu sentiasa ingatkan dan menasihati mereka ketika bertengkar.
Apa yang perlu kita lakukan? Meleraikan perbalahan atau memarahi semua pihak?
Cuba kita fikir & ingatkan kembali, semasa semua anak-anak kita berbaik semula dan bermain bersama-sama dengan mesra. Adakah kita beri perhatian pada mereka? Ramai ibubapa yang akan bising & beri perhatian semasa anak mereka bergaduh tetapi mereka hanya membiarkan sahaja apabila anak2 berperlakuan baik.
Sebenarnya, anggapan sedemikian adalah punca kepada anak-anak kembali bergaduh & bertengkar. Ini kerana, mereka cuba untuk menarik perhatian ibubapa mereka.
PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN.
Berilah pujian kepada anak-anak apabila mereka bermain dengan baik tanpa bergaduh. Suburkan dengan galakan supaya mereka terus bersatu padu dan bergaul mesra sebagai satu pasukan keluarga. Puji mereka dengan ungkapan sederhana dan senang difahami dengan taraf pemikiran mereka. Juga boleh dipereratkan lagi dengan pelukan mesra dan ungkapan senang hati serta sayang.
KEBIASAAN 6 : MERENDAHKAN DIRI SENDIRI.Apa yang anda akan lakukan jika anak anda leka menonton tv / bermain / melayan play station sehingga melampaui waktu membaca?
Mungkin jika anda sebagai ibu, anda akan memberikan ancaman kepada mereka dengan berkata; " Cukup2lah main tu. Nanti bila papa balik, papa akan marah kamu nanti ". Mungkin juga kita akan mengungkapkan perkataan lain dengan maksud untuk memberikan ancaman yang mungkin ditakuti oleh anak pada masa itu. Dan, ancaman itu pula adalah sesuatu yang selain daripada diri kita.
Kita juga sering cuba memujuk anak yang menangis dengan memberi ancaman seperti berikut : "Adik jangan nangis kuat2 ye. Nanti kucing hitam tu gigit ".
Cuba kita perhatikan contoh ungkapan ancaman yang saya berikan di atas dan komen sebelum ini. Kita biasanya tidak sedar bahawa kita secara tidak langsung telah memberikan isyarat bahawa individu atau perkara yang boleh menghentikan tindakan anak adalah individu atau perkara lain dan bukannya diri kita sendiri. Ini seolah-olah mendedahkan bahawa kita tidak memiliki apa-apa kuasa untuk menegah tindakan anak tersebut.
Jika kita selalu lakukan perkara sebegini, ia akan tertanam dalam minda separa sedar (subconscious mind) anak bahawa pihak yang perlu dipatuhi ialah orang lain bukannya ibubapa (Kepatuhan utama adalah pada perintah Allah. Patuh pada ibubapa selagi mereka tidak menyuruh kepada perkara yang bertentangan dengan syariat). Ibubapa sama sekali tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka. Akhirnya, dari hari ke hari, anak semakin tidak mengendahkan nasihat daripada kita.
APA YANG PERLU DILAKUKAN ?
Sediakan set peraturan untuk mereka patuhi sebelum kita mula menasihati mereka.
"Dalam rumah ini ada peraturan..." Umpama dialog Ghasidah dan suaminya Abdul Wahub di meja makan dalam filem 3 Abdul.
Beritahu pada anak2 tentang peraturan2 yang perlu mereka patuhi. Jika mereka gagal mematuhi, dekati anak tersebut, renung matanya dan beritahu mereka dengan nada yang tegas dan serius supaya mereka menghentikan perbuatan yang menyalahi peraturan atau beri mereka pilihan. Contohnya, anak sedang menonton tv ketika hampir waktu maghrib dan masih belum mandi; "Along, abi nak along tutup tv dan pergi mandi. Dah nak masuk maghrib ni. Along nak mandi sekarang ke atau 5 minit lagi?". Apabila pilihan jawapannya 5 minit lagi, kita perlu terus menjawab "Ok. Tapi kalau tak pergi mandi juga selepas 5 minit, abi akan tutup tv dan kamu perlu baca al-qur'an malam ini 15 minit lebih dari biasa". Setelah cukup tempoh 5 minit, dekati anak & renung matanya dan nyatakan masa dah cukup 5 minit dan tiada tolak ansur dan tawar menawar lagi.Jika dia gagal menepati janji, teruslah ambil tindakan dan minta dia laksanakan apa yang dijanjikan.
KEBIASAAN 7 : IBU DAN BAPA TIDAK SEPAKAT & BERSATU PADU.Tugas mendidik anak-anak adalah tugas kedua-dua pihak iaitu ibu dan bapa. Ia bukan tugas khusus untuk ibu atau bapa sahaja.
Jika ibubapa kurang kesepakatan dan tidak bersatu padu antara satu sama lain, anak-anak tidak akan menjadi lebih baik. Persefahaman dan kesatuan fikiran serta tindakan antara ibubapa amatlah penting. Bukan hanya masa bercinta sahaja perlu ada "chemistry" (seperti yang selalu dicari-cari oleh pasangan bercinta) malah seharusnya "chemistry" itu perlu dipertajamkan lagi dalam situasi mendidik anak-anak.
Secara umumnya, anak-anak masih belum memiliki sistem nilai samada sesuatu perkara itu betul atau salah. Mereka lebih cepat merasai perasaan yang tidak menyenangkan dalam diri mereka. Sebagai contoh, seorang ayah meminta anaknya membuat kerja sekolah dan jangan terus menonton televisyen. Pada masa yang sama, si ibu membela anak dengan mengatakan bahawa boleh menonton tv dengan alasan supaya anak tidak stres. Dalam kes ini, anak biasanya akan membuat tanggapan bahawa ayahnya jahat dan ibunya baik. Ini kerana, mereka cenderung memilih perkara yang menyenangkan diri mereka.
Akibatnya, setiap kali ayah memberikan arahan, anak akan mula melawan dengan berlindung di sebalik pembelaan ibunya. Lama-kelamaan, anak akan terus belajar untuk terus melawan setiap apa yang disuruh oleh bapanya. Dan begitulah juga sebaliknya.
Apa yang perlu dilakukan?
Ibubapa perlu bekerjasama dan bersatu hati dalam mendidik anak-anak. Elakkan perbezaan pendapat ketika mendidik anak khususnya semasa berhadapan dengan mereka. Formula yang paling penting, apabila salah seorang sedang menegur atau mendidik anak, maka pasangan juga perlu menunjukkan sokongan atau ambil tindakan dalam ruang lingkup matlamat yang sama.
Jika berlaku sebarang perbezaan pendapat, bincangkanlah secara bersama dengan penuh mahabbah.
Antara ibu dan bapa, seorang perlu tegur mendidik & seorang lagi pujuk tapi tegas pada matlamat. Jangan sampai yang memujuk "condemn" pihak yang menegur. Satu lagi, setiap pasangan kena cepat "menangkap" maksud yang cuba disampaikan semasa proses mendidik tersebut supaya seni teguran dan pujukan itu selari untuk manfaat si anak.
KEBIASAAN 8 : CAMPUR TANGAN PIHAK KE 3; DATUK, NENEK, MAKCIK, PAKCIK ATAU PIHAK LAIN.Walaupun ibubapa telah berusaha bersepakat dan bersefahaman untuk mendidik anak-anak, campur tangan pihak ke 3 juga boleh mengganggu proses mendidik anak-anak. Lebih-lebih lagi, jika pihak ke 3 cenderung untuk membela anak-anak.
Seperti kebiasaan ke 7, kesan ke atas anak-anak tetap negatif apabila mereka menerima arahan dan pandangan yang berbeza. Si anak akan cenderung untuk mengikuti pihak yang membela mereka. Hasilnya, mereka akan menganggap ibubapa sebagai lawan dan cenderung untuk tidak lagi mendengar nasihat dan pandangan ibubapa.
KEBIASAAN 9 : MENAKUTKAN ANAKLazimnya, apabila anak menangis, ibubapa akan cuba menenangkannya. Tapi biasanya ia akan disertai dengan ayat bertujuan untuk menakutkan. Contoh; " Adik jangan nangis ye. Nanti pakcik orang gila dengar". "Kakak, berhenti nangis. Nanti papa bawak pergi klinik suruh doktor cucuk".
Kita juga kadang2 terbiasa memberi ancaman pada anak bertujuan untuk mengalihkan perhatiannya khususnya apabila di pasar raya. "Kita tak boleh beli mainan ni. Nanti pakcik yang pakai topi jambul merah tu marah. Kalau adik nak beli jugak, mama panggil pakcik topi jambul merah tu". Selepas mendengar larangan tersebut, anak cenderung untuk berhenti menangis dan mengikuti larangan kita.
Apa yang sepatutnya dilakukan?
Berkatalah dengan jujur dan beritahulah sesuatu kepada anak-anak sebagaimana kita memberitahu sesuatu pada seorang dewasa. Anak juga mampu berfikir secara dewasa. Jika si anak minta dibelikan gula-gula, maka beritahu fakta sebenar seperti gula-gula boleh menyebabkan kerosakan gigi dan ada pemanis buatan yang mengganggu kesihatan manusia. Jika anak tetap memaksa dan menangis, katakan pada anak itu dengan penuh pengertian sambil merenung matanya; "Adik boleh menangis tapi abi tetap takkan beli gula-gula tu". Jika dia terus menangis, biarkan dia sehingga dia diam sendiri.
KEBIASAAN 10 : UCAPAN & TINDAKAN YANG TIDAK SESUAI / TIDAK MENEPATI JANJISesetengah ibubapa suka menggunakan pendekatan memberi penghargaan / hadiah atau mengenakan hukuman apabila anak mereka melakukan sesuatu perkara. Contohnya; "Kalau kakak kemaskan bilik tidur kakak sekarang, petang nanti papa & mama akan bawa kakak jalan2 di taman permainan".
Penghargaan dan janji2 manis sebegini biasanya amat diharapkan oleh anak-anak. Kita sebagai ibubapa pula, apabila melafazkan sesuatu janji pada anak2 MESTI menepati janji tersebut. Jika tidak, kita tidak akan dipercayai oleh anak-anak dan kesan selanjutnya ialah anak2 kita akan mula mengingkari dan tidak mahu mengikut arahan yang kita berikan.
KEBIASAAN 11 : HADIAH UNTUK SI ANAK YANG BERKELAKUAN BURUKKita biasanya mempunyai pendirian dan pernyataan yang tidak konsisten dalam mengurus tingkahlaku anak-anak. Masalah ini telah mengajar anak untuk melawan kita tanpa disedari.
Kita mestilah konsisten dalam melakukan sesuatu perkara pada si anak. Tak perlu rasa malu atau takut jika dikatakan sebagai ibubapa yang degil atau tegar dalam mendidik anak.
Sekali kita konsisten, si anak tidak akan mencubanya lagi. Anak adalah pelajar yang baik khususnya apabila belajar berdasarkan pengalamannya. Kita mungkin mudah lupa terhadap peristiwa yang dialami oleh si anak, tetapi anak sebenarnya tidak pernah lupa.
Tetaplah konsisten dan jangan cepat menyerah kalah. Apapun, jangan berikan hadiah pada kelakuan buruk anak.
KEBIASAAN 12 : MERASA BERSALAH KERANA TIDAK DAPAT MEMBERIKAN YANG TERBAIKArus dehidupan di zaman ini memerangkap masa ibubapa lebih banyak di tempat kerja dan di jalan raya berbanding bersama dengan keluarga dan anak2. Disebabkan jadual harian dan kerja yang padat, ramai ibubapa rasa bersalah kerana tidak cukup masa bersama anak2.
KEBIASAAN 13 : MUDAH MENYERAH KALAH DAN PASRAH.Konflik ini biasanya terjadi pada ibubapa yang mempunyai anak-anak yang berperwatakan degil. Dalam keadaan kita sebagai ibubapa yang tidak pernah tegas dan mudah menyerah kalah kepada si anak, maka si anak akan memegang watak yang lebih tegas dan degil.
KEBIASAAN 14: MARAH YANG KETERLALUAN.
Ibubapa sering keliru antara mendidik dan memarahi anak. Perlu diingat bahawa sikap suka memarahi anak adalah cara mendidik yang paling buruk.
Semasa kita memarahi anak, kita sebenarnya tidak mendidik mereka bahkan kita hanya melampiaskan amarah dan kekesalan dalam diri kita kerana tidak dapat mengatasi masalah dengan baik.
Jangan sesekali pukul anak semasa marah. Kerana ketika itu, kita akan salurkan 'tenaga' marah pada anak. Apabila selalu pukul ketika marah, anak akan subur dengan aura 'marah'.
GERAM? Itulah cabarannya. Nak control diri ketika marah... Cuba perhatikan, kalau kita cepat melenting, anak juga akan mewarisi sifat itu.
Dalam satu majlis di Subang Jaya baru-baru ini, saya bertanya rahsia kepada seorang Tn Hj tentang bagaimana dia mendidik empat anak perempuannya sehingga berjaya melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang yang kritikal. Antara rahsianya, elakkan pukul anak ketika marah. Hukumlah mereka dalam satu 'sesi khas' ketika kita dalam keadaan tenang. Dan untuk anak yang berumur 7-12 tahun, wujudkanlah kesedaran kepada mereka tentang apakah bentuk hukuman yang wajar mereka terima jika mereka melakukan kesalahan.
***Sekadar berkongsi, saya gemar bertanya pada individu yang semua anak mereka berjaya, apa rahsia mereka dalam mendidik anak-anak.
laman jualan TERBARU kami di
http://attayseer.blogspot.com/
Menarik perkongsian.
ReplyDeleteAda lagi situasi].
Thanks sharing