Untuk menjadi individu yang berjaya dalam kehidupan, kita perlu mempunyai tanda aras atau benchmark tersendiri untuk membolehkan kita mengukur tahap di mana diri kita yang sebenarnya. Bila disebut persoalan tanda aras dalam mengukur kejayaan diri, tidak ramai individu yang mempunyai tanda aras yang spesifik atau hanya setakat mengukur sesuatu dalam kadar zon selesa atau comfort zone. Ini menyebabkan kita tidak mampu meningkatkan keupayaan diri ke tahap yang lebih baik.
Kebiasaannya, ramai individu lebih suka berada dalam keadaan zon selesa setelah mereka rasa telah mencapai tahap yang dirasakan berpatutan. Oleh itu, mereka akan hanya sekadar melakukan rutin harian yang akhirnya tidak membawa perkembangan dalam potensi diri dan pemikiran. Adakah kita semua berada ditakuk ini?
Ada juga individu yang tidak berminat dan buat tak kisah tentang keperluan mempunyai tanda aras dalam kehidupan atau dalam setiap apa yang mereka lakukan. Ramai yang hanya berpada untuk buat cukup makan atau mengulangi apa yang telah dibuat sebelum ini. Mereka hanya merasakan kalau pada pandangan dan view mereka sesuatu perkara itu dah ok, maka it should be ok tanpa perlu mengukur dan berfikir - sepatutnya kalau nak buat benda ni lebih baik macam mana? Adakah kita semua berada dalam lingkungan ini?
Di kalangan anak muda dan remaja, dunia mereka lebih mencabar. Mereka diakui ada tanda aras atau idola dalam kehidupan. Cuma persoalannya, adakah tanda aras dan idola mereka bakal membawa mereka ke jalan yang terpesong yang akhirnya merugikan masa depan mereka sendiri? Atau adakah tanda aras dan idola mereka hanya boleh memenuhi runtunan hawa nafsu dan tidak membawa apa-apa kebaikan pada potensi diri serta kemurnian untuk kehidupan ukhrawi? Adakah kita atau golongan di keliling kita berada dalam kepompong ini?
Lebih cemas, ramai ibubapa zaman sekarang khususnya orang Melayu suka mendorong anak-anak mereka untuk menggunakan kaedah Jalan Pintas. Isu utamanya ialah ramai meletakkan tanda aras untuk cepat jadi kaya dengan mendorong anak supaya menjadi artis yang kononnya bila sudah popular akan dapat banyak duit. Maka ramai lah anak muda melayu menyertai prog realiti untuk menjadi artis. Saya bukan terlalu anti program realiti ini. Tetapi apabila melihat kalangan anak muda Melayu Islam yang sanggup mengabaikan pendidikan bahkan disokong pula oleh ibubapa yang sanggup bergolok gadai untuk anak mereka berjaya dalam 'kerjaya' hiburan itu, saya merasakan "sengkek" dan cetek sangatkah pemikiran masyarakat kita yang hanya mentakrifkan menjadi artis sebagai satu tanda aras kejayaan. Itu tak dikira lagi dengan biah dan suasana pergaulan mereka yang jika tidak dapat kawal diri maka negatiflah akibatnya. Adakah anda berada dalam kepungan ini?
Atau lebih merunsingkan lagi, yang juga cabaran yang mungkin sukar saya dan kita semua untuk hadapi iaitu tanda aras kita "SUKA DUNIA DAN TAKUT MATI". Mungkin dalam kehidupan seharian, kita jengkel melihat orang lain lebih dari kita dari sudut harta dan pangkat tetapi kurang daya usaha untuk bersaing dengan orang yang lebih berilmu. Adakah kita dalam kelompok ini? Sukar mendidik diri untuk menjadi insan yang mempunyai tanda aras yang sentiasa membandingkan diri dengan kelompok yang berilmu serta mengamalkannya. Juga perlu usaha mentarbiah diri mempunyai tanda aras untuk memperbanyakkan syukur dengan membandingkan diri kepada orang yang diuji Allah dengan mehnah dan ujian dalam kehidupan seperti kelompok fakir miskin, hidup dalam ketakutan, suasana kebuluran dan kedhaifan.
Yang penting, untuk menghargai anugerah Allah yang menciptakan manusia sebagai sebaik-baik kejadian, maka kita mestilah meletakkan tanda aras sentiasa suka kepada yang terbaik kerana itulah FITRAH manusia. Cuma "yang terbaik" bagi kita mestilah diukur dari apa yang terbaik dalam neraca Allah S.W.T.
Di sini saya lampirkan tulisan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin dalam Mingguan Malaysia pada 30 Ogos 2009 untuk kita ukur apa tanda aras dalam pemikiran kita berdasarkan coretan beliau. Mungkin ada yang bersetuju dan mungkin juga ada yang kurang bersetuju. APA YANG PENTING - baca, fikir dan lihat dengan minda yang diasuh, mata hati yang digilap dan potensi diri yang dikerah keseluruhannya untuk mencari yang TERBAIK sebagai tanda aras diri kita.
Petikan dari tulisan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin dalam Mingguan Malaysia 30 Ogos 2009.
Apa mereka perjuangkan?
Tanda aras
Dalam Islam kita diajar agar mencontohi yang baik, bahkan yang terbaik. Jika kita ingin mencapai sesuatu kualiti yang baik, maka kita mestilah mengambil bench mark atau penanda aras yang terpilih. Justeru itu kita disuruh mencontohi para nabi dan pengikut mereka yang terbukti benar-benar berjaya mempertahankan prinsip kebenaran. Ini seperti firman Allah: (maksudnya) "Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (Nabi) Ibrahim (aS) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik..." (Surah Mumtahanah, ayat 4).
Firman Allah juga: (maksudnya) Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula mengingati Allah banyak-banyak. (Surah al-Ahzab, ayat 21).
Nabi Muhammad itu sendiri pun diperintah oleh Allah SWT agar menuruti langkah dan teladan para nabi sebelum baginda. Firman Allah: "Mereka (nabi-nabi) tersebut adalah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (Wahai Muhammad) akan petunjuk mereka." (Surah al-An'am, ayat 90).
Demikianlah banyak ayat-ayat al-Quran yang Allah arahkan agar kita mencontohi teladan yang baik sebagai penanda aras dalam perjalanan hidup kita.
Malang sekali, 'orang parti' apabila kita mengkritik tindakan parti mereka, mereka akan menjawab ''parti lawan lebih teruk'', atau ''parti lawan buat tak apa, kenapa kami tak boleh? ''Kenapa bantah kami, parti lawan pun buat perkara yang sama? atau apa sahaja jawapan yang menunjukkan penanda aras tindakan mereka adalah diukur dengan parti lawan mereka.
Pada masa yang sama mereka kata parti lawan buruk dan mendakwa mereka lebih baik dari parti musuh mereka, tapi pengukur tindakan mereka tidak lebih dari parti yang mereka tentang. Mereka sebenarnya bukan mencari yang terbaik, tetapi mereka ingin menjustifikasikan tindakan politik mereka.
Jika itulah tahap pemikiran orang politik kita, sehingga bila pun kita tidak akan dapat membuat perubahan yang terbaik dalam masyarakat kita. Barangkali jika kita mengkritik mereka mengambil rasuah, mereka akan jawab: ''pemimpin parti lawan kami ambil lagi banyak, pasal apa kritik kami?" Mereka menghalalkan tindakan mereka kerana parti lain pun buat.
Jika begitu, kita tidak perlu buat pilihan raya untuk sebarang pemilihan kerana tahap ukuran atau penanda aras mereka itu sama! Mungkin ada yang berkata; kita guna kaedah 'memilih mudarat yang paling ringan' seperti yang diajar dalam qawa 'id fiqhiyyah (kaedah-kaedah fekah).
Kaedah ini mengajar bahawa apabila bertentangan antara dua mudarat atau bahaya, seseorang muslim diperintahkan agar memilih yang paling kurang bahaya atau mudarat antara keduanya. Kaedah ini digunakan apabila tiada lagi di hadapan seseorang pilihan yang lain. Namun jika di sana ada jalan keluar dari bahaya atau mudarat tersebut, maka kita hendaklah mendapatkannya.
Pihak yang layak untuk melaksanakan kaedah ini ialah para pengundi apabila mereka mendapati kesemua parti-parti ini adalah bahaya dan mudarat, mereka terpaksa memilih yang paling ringan mudaratnya.
Soalnya, apakah parti-parti ini hanya mampu menjadi 'yang paling ringan mudarat', bukan yang mampu membawa sesuatu yang baik atau terbaik? Juga, apakah parti-parti politik ini kesemuanya merupakan bahaya dan mudarat yang kita tiada pilihan, atau mampu mencari jalan keluar? Atau, apakah sekadar itu sahaja tahap kualiti dan pemikiran kita.
Kualiti perjuangan
Saya suka apabila ada pihak yang membezakan kualiti pengikut atau penyokong. Saya bukan tokoh politik, tetapi sering berjumpa berbagai pihak dan individu sama ada di tempat awam, tertutup atau melalui surat dan e-mel yang menyebut: ''Saudara, saya penyokong anda", atau ''saya peminat anda", atau ''saya berikan sokongan penuh perjuangan anda."
Jika saya sempat bersembang dengan mereka saya pasti akan bertanya: ''Apa yang anda sokong?'', ''Apa yang anda minat?'' Alhamdulillah, ramai yang menjawab: ''Saya pembaca setia tulisan anda'', atau ''Saya selalu mengikuti ucapan anda dalam berbagai media," atau ''Saya sering menghadiri kuliah anda." Namun jika ada yang menjawab ''Saja, seronok-seronok'' atau ''kawan saya sokong anda, saya pun join kelab mereka," atau ''Sekadar trend terkini,'' tentulah sesuatu yang mendukacitakan dan tidak memberi apa-apa makna kepada segala usaha dan penat lelah.
Saya dapati ramai orang politik cuai hakikat ini. Sesetengah parti politik, para pengikut mereka benar-benar tiada kualiti. Mereka tidak mendokong cita-cita perjuangan, atau tiada faham apa yang diperjuangkan, tetapi sekadar berseronok suka dengan 'keramaian' dan 'faedah sampingan' yang diperolehi.
Mereka tidak tahu idealisme perjuangan, atau jika tahu pun mereka tidak menghayatinya atau terasa sebahagian dari perjuangan mereka. Inilah yang kita lihat pada ramai anak-anak muda, bahkan yang tua juga yang bersorak-sorai dalam musim pilihan raya.
Ada parti yang benar-benar lesu cita-cita perjuangannya. Hilang arah dan matlamat perjuangan. Hidup atas isu atau sekadar hendak mempertahankan kerusi atau kuasa yang ada. Para pengikut bawahan mereka, hanya sekadar untuk mendapatkan upah menggantung poster, atau wang poket, atau 'makan percuma'.
Politik sekadar untuk bersosial, bukan kerena ada perjuangan yang hendak digalas, maka hancurlah politik kita dan masa depan negara. Hal ini berlaku disebabkan banyak perkara, antaranya; perjuangan parti itu sendiri hilang arah, atau cita-cita perjuangannya tidak berpijak di alam nyata, atau perjuangannya tidak dapat diterima pengikut atau contoh teladan buruk kepimpinan parti yang menyebabkan segala idealisme ditelan isu-isu peribadi.
Menetapkan hala tuju perjuangan yang jelas dalam diri individu atau organisasi merupakan rukun utama dalam meneruskan perjalanan hidup.
Sebab itulah, sebahagian sarjana ada yang menyatakan Islam itu adalah jawapan yang tepat kepada tiga soalan utama yang sentiasa muncul dalam akal pemikiran manusia sepanjang zaman; iaitu dari mana manusia wujud? Kenapa manusia diwujudkan? Ke mana akhirnya kesudahan kewujudan manusia?
Islam menjawab persoalan-persoalan ini secara tepat. Jika sesiapa dapat memahami atau memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan-persoalan ini, bererti dia memahami hakikat Islam. Dengan memahami hakikat ini, maka umat Islam dahulu yang gemilang berjuang. Kejelasan matlamat dan hala tuju hidup terbentang di hadapan mata mereka.
Maka jika hal ini dikiaskan kepada perjuangan apa sahaja, jika perjuangan itu dapat memberikan jawapan serta memahamkan pengikut mereka, 'bagaimanakah perjuangan mereka itu boleh muncul? Untuk apa mereka berjuang? Dan ke manakah kesudahannya perjuangan tersebut? maka kita akan dapati kelangsungan perjuangan berkenaan. Jika tidak, ia adalah slogan khayalan yang tiada hakikat baginya.
Sekalipun, jika ia kelihatan gah dan besar, ia hanyalah singa atau raksasa kertas yang boleh dimusnahkan oleh sebatang mancis api. Jika jawapan itu benar-benar wujud sekalipun kecil ia mampu bergerak dan membawa dirinya sendiri.