Tuesday, December 14, 2010

Perbincangan mengenai buku " Mengapa Anak Saya Suka Melawan & Degil

KEBIASAAN 15: MENEGUR SECARA SPONTAN
Kita mungkin pernah marah pada anak2 secara berlebihan dan perasaan marah itu terbawa-bawa hingga berhari-hari lamanya. Akibatnya, kita rasa menyesal sehingga enggan menyapa anak kita. Hatta sampai satu tahap, masing2 menunggu masa untuk memulakan kembali hubungan agar kembali normal spt biasa.


KEBIASAAN 16 : MENYATAKAN SESUATU PERKARA TIDAK KENA PADA TEMPATNYA.
Situasi ini selalu berlaku pada kebanyakan ibubapa. Sbg. contoh, ketika melihat perangai anak lelaki yang suka mengusik & agak nakal, ibubapa cenderung berkata : "Biarlah... anak lelaki memang macam tu. Budak2 mmg begitu".

Kita juga mungkin biasa dengar, ada sesetengah ibubapa apabila anak mereka bergaduh dengan rakan atau sepupu, mereka akan berkata: " Biarlah budak2. Biasala mereka bergaduh ni".

Jangan biasakan diri utk "membiarkan" perilaku buruk yang berlaku. "Anak kalau dibiarkan, akan jadi TERBIAR". Lumrah alam, rumput juga jika dibiarkan akan jadi semak.


KEBIASAAN 17 : PENGGUNAAN ISTILAH YANG TIDAK JELAS MAKSUDNYA.
Kita selalu dengar ibubapa sering mengungkapkan pernyataan pada anak2 seperti berikut : " Jangan nakal2. Kalau nak ikut papa dan mama ke taman permainan, tak boleh nakal2". Istilah seperti "nakal" tidak memiliki maksud yang jelas pada pemahaman anak2.

Apabila anak tidak dapat memahami dgn jelas nasihat itu, mereka akan cuba mentafsir dgn pemahaman mereka sendiri. Mereka juga akan cuba mengetahui apakah sebenarnya yang dimaksudkan. Akhirnya, mereka akan lebih mencuba dan hasil cubaan itu akan membuatkan kita sebagai ibubapa lebih pening kepala dgn tingkahlaku mereka.


KEBIASAAN 18 : MENGHARAPKAN PERUBAHAN SEGERA.
Zaman sekarang, semua orang nak cepat. Kita sudah terbiasa dengan semua benda dalam bentuk 'segera'. Mee segera, kopi segera, roti canai segera,hatta telur dadar pun ada paket segera, semuanya segera.

Apabila anak2 melakukan sesuatu kesilapan, kita pun sudah lali dengan menginginkan mereka merubah perangai dan kesilapan dengan SEGERA. Kita nak anak melakukan perubahan total dalam masa sehari!

Jika kita selalu memaksa atau menekan anak untuk berubah dengan cepat, kita perlu sedar bahawa, manusia memerlukan sesuatu tempoh untuk berubah. Begitu juga anak, mereka akan mengalami kesulitan untuk berubah dengan kadar segera.


KEBIASAAN 19 : PENDENGAR YANG TERUK.
Kita mungkin jarang menjadi pendengar yang baik kepada anak2. Sekiranya ada sesuatu masalah yang terjadi pada anak & mereka mahu menceritakannya, ibubapa suka mencelah dan terus menasihati anak tanpa mahu bertanya masalah & puncanya.


KEBIASAAN 20 : SELALU MENURUTI SEGALA PERMINTAAN ANAK.

Fenomena terlalu 'sayangkan' anak sehingga mahu menuruti segala permintaannya sebenarnya boleh membawa elemen negatif pada jatidiri anak tersebut. Ini mungkin berlaku pada mereka yang terlalu menginginkan anak setelah menunggu dalam tempoh yang lama atau itulah satu2nya anak yang lain jantina dari 7 anak sedia ada.

Lalu, jadilah anak tersebut sebagai raja kecil yang semakin hari semakin banyak permintaannya. Apabila ini sudah menjadi kebiasaan, maka kita semakin susah untuk menghalangnya. Akhirnya, anak yang terbiasa dengan keadaan sebegini akan menjadikan mereka seorang yang ego, sukar bertoleransi, tamak, tidak kenal erti susah dan tidak memiliki jatidiri untuk berdaya saing serta berusaha.


KEBIASAAN 21 : TERLALU BANYAK LARANGAN.


Kebiasaan ini berbeza dengan Kebiasaan 20. Ibu bapa yang mempunyai personaliti dari kelompok Perfect Melancholy & kelompok Powerful Choleric (rujuk buku Personality Plus) mempunyai sifat mementingkan kesempurnaan. Mereka cenderung ingin menjadikan anak2 seperti yang mereka inginkan dan SEMPURNA dalam setiap keadaan.

Allah menciptakan seseorang individu itu memiliki sifat dan kemampuannya yang tersendiri. Begitu juga yang berlaku pada anak2.

Sebagai seorang yang sempurna, kita cenderung untuk membentuk anak kita sesuai dengan keinginan kita; anak kita harus begini dan tidak boleh begitu serta dilarang melakukan itu dan ini. Perkara ini seringkali kita lakukan dengan cara yang sangat berlebihan sehinggalah kepada perkara-perkara yang peribadi turut kita aturkan terhadap si anak.

Keadaan ini akan terus berlaku hingga ke tahap anak tak tahan lagi dengan cara kita. Maka mungkin akan berlaku penentangan dari si anak dalam pelbagai bentuk seperti secara menyakiti diri sendiri (anak yang sensitif) atau dengan penentangan secara tersembunyi (anak yang degil) atau dengan penentangan secara terbuka (anak yang sangat degil).

Apa yang perlu dilakukan?
Kita sebagai ibu bapa harus bersifat wasatiyyah dengan mengurangkan sifat yang menginginkan sesuatu yang berbentuk kesempurnaan daripada anak. Tapi dalam hal agama, kita perlu tegas dan berhikmah dalam mendidik mereka. Bantulah anak untuk melakukan setiap perkara yang baik dan positif. Sentiasalah bersembang dan bertukar pandangan serta cuba melihat sudut pandang mereka. Di sini, kita boleh melatih pemikiran mereka agar boleh menerima dan mempertimbangkan pendapat orang lain. Wujudkan ruang untuk saling mempercayai yang terkawal antara satu sama lain.

KEBIASAAN 22 : TERLALU CEPAT MEMBUAT KESIMPULAN.


Masalah ini akan berlaku apabila ibu bapa gagal menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak. Kita kadang-kadang terus memotong percakapan anak2 terutamanya ketika mereka memberikan penjelasan. Kita segera memberikan kesimpulan pada sesuatu yang terjadi pada mereka.

KEBIASAAN 23 : MENGUNGKIT KESALAHAN PADA MASA LALU.


Apabila ibu bapa gagal menjadi pendengar yang baik pada luahan hati anak-anak serta terlalu cepat membuat kesimpulan, ia akan berlanjutan untuk membentuk sikap suka mengungkit kesalahan masa lalu yang dilakukan oleh anak-anak.

Contoh; "Kan papa dah cakap. Jangan main terjun-terjun macam tu. Tak serik-serik lagi? Tak menyesal sakit macam jatuh hari tu? Papa dah cakap. Ni la padahnya kalau tak dengar cakap papa dan mama. Kamu ni nak jadi anak yang tak dengar kata ke?"

Harapan kita, apabila ungkit peristiwa atau kejadian lalu mengenai kesalahan yang pernah mereka lakukan, maka anak-anak akan belajar dari peristiwa tersebut. Namun, perkara yang akan terjadi adalah sebaliknya. Anak akan rasa sakit hati dan berusaha untuk ulangi kesalahannya sebagai tindak balas pada perasaan sakit hatinya pada kita.

Pemerhatian saya, kanak-kanak khususnya bawah 7 tahun berfikir secara "realtime". Itu sebab mereka tidak berdendam, tidak menghadapi sesuatu secara beremosi dan happy sentiasa. Anak-anak yang dilahirkan disifatkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai FITRAH = suci bersih. Cabaran kepada kita untuk kembali kepada FITRAH setelah bergelumang dengan pelbagai corak lukisan alam duniawi.

KEBIASAAN 24 : SUKA MEMBUAT PERBANDINGAN.


Kita mungkin akan berasa tidak puas hati jika kita selalu dibandingkan dengan orang lain dalam apa yang kita lakukan. Kita juga akan berasa tidak selesa jika ada orang yang memakai baju yang sama dengan kita dalam satu majlis. Apatah lagi jika kita dibanding-bandingkan dengannya.

Secara psikologinya, manusia memang begitu. Tidak suka sifat atau fizikalnya dibandingkan dengan orang lain.

TAPI, yang anehnya, ramai ibu bapa suka membandingkan antara anak2 mereka walhal mereka sendiri tidak menyukainya pada diri mereka sendiri. Contohnya, ibu bapa suka membandingkan anak yang malas dengan anak yang rajin. Lebih teruk lagi jika dibandingkan dengan anak orang lain. Anak yang mendapat keputusan yang rendah dalam peperiksaan dibandingkan dengan mereka yang mendapat keputusan yang lebih baik.

KEBIASAAN 25 : PALING BENAR DAN PALING MENGETAHUI.


Kanak-kanak yang berumur 1-3 tahun sentiasa merasa merekalah yang paling benar dan sering memaksa orang lain untuk memenuhi permintaannya.


KEBIASAAN 26 : SALING MENGABAIKAN TANGGUNGJAWAB.


Mendidik anak-anak adalah tugas kedua-dua ibu dan bapa. Bukan hanya satu pihak sahaja. Sekiranya tiada kerjasama, proses mendidik tidak akan mencapai hasil yang memuaskan. Lebih teruk lagi, jika ibu bapa saling menyalahkan antara satu sama lain.


KEBIASAAN 27 : KANAK-KANAK HARUS SELALU MENGALAH.


Sudah jadi satu kebiasaan di mana anak yang lebih dewasa perlu selalu mengalah dengan adiknya. Perkara itu sudah menjadi budaya. Adakah perkara ini logik dan tidak kah ia dilihat seperti tidak adil?


KEBIASAAN 28 : HUKUMAN SECARA FIZIKAL.


Dalam keadaan emosi tidak terkawal, kita cenderung untuk mengambil tindakan di luar kawalan dan di luar kewarasan. Kita juga akan menjadi lebih sensitif dengan tingkahlaku anak-anak. Keadaan ini berevolusi dari bersuara tinggi hinggalah menjadi tindakan fizikal yang menyakiti anak.

Apa yang perlu dilakukan?
Sebagai ibubapa, kita jangan terburu-buru mengenakan hukuman fizikal pada anak-anak lebih-lebih lagi hukuman yang agak keras seperti menampar dan merotan. Pernah saya tulis sebelum ini, pengalaman yang dikongsikan kepada saya dalam satu majlis iaitu elakkan dari memukul anak dalam keadaan marah. Ini kerana kita akan menyalurkan nafsu marah yang bersifat negatif ke dalam diri anak tersebut.

Gunakan kaedah didik yang positif tapi tegas pada anak-anak. Cuma, kita sebagai ibubapa perlu sentiasa muhasabah diri dan lihat apa kelemahan diri kita dalam mendidik anak-anak. Kerana anak-anak kita membesar dalam corak yang kita wujudkan pada mereka.

Hukuman pada anak-anak adalah ketika dalam keadaan tenang. Anak tahu dan sedar yang mereka menerima hukuman disebabkan oleh kesalahan yang mereka lakukan. Bukan sebab sifat bengis dan terburu-buru ibubapa.


KEBIASAAN 29 : MENUNDA ATAU MEMBATALKAN HUKUMAN.


Kita sering berjanji dan mengugut untuk mengenakan hukuman kepada si anak yang berkelakuan buruk. Adakah kita segera mengenakan hukuman yang dijanjikan?


KEBIASAAN 30 : TERPERANGKAP DALAM EMOSI.


Anak-anak akan sentiasa menguji emosi kita dengan berperangai seperti menangis, merengek, atau memukul demi memaksa kita melakukan sesuatu yang diingininya. Secara umumnya, kita akan mengalah apabila menghadapi situasi begini. Perbuatan mereka ini akan menyebabkan kita marah.


KEBIASAAN 31 : HUKUMAN KE ATAS ANAK KETIKA MARAH.


Perkara yang perlu sentiasa diingati oleh ibu bapa ialah jangan memberikan perjanjian atau hukuman kepada anak dalam keadaan emosi kita sedang memuncak. Dalam keadaan emosi tidak stabil samada terlalu gembira atau terlalu marah, kita akan membuat keputusan bukan dalam kewarasan sebenar.

Khususnya elakkan menghukum anak ketika dalam keadaan marah kerana ia tidak membantu menjadikan anak kita lebih baik. Bahkan mereka akan meniru apa yang kita lakukan sewaktu kita marah. Lebih buruk lagi bagi mereka yang marah pada anak menggunakan kata-kata kesat dan bersifat negatif.

Apa yang harus dilakukan:
1. Apabila dalam keadaan marah, segeralah menjauhkan diri dari anak-anak. Pilih cara yang tepat untuk mengawal perasaan marah dengan segera contohnya seperti berwudhu', beristighfar, tukar teknik bernafas atau ubah posisi keadaan diri. Mengubah posisi ini ialah satu kaedah meredakan kemarahan. Jika marah dalam keadaan berdiri, duduk akan membantu sedikit untuk meredakan kemarahan. Apabila telah duduk & masih marah, jangan bangun. Teruskan duduk hingga rasa marah mula hilang dan masukkan unsur2 pemikiran positif serta zikir.

2. Jika kita sedang marah, kita cenderung untuk memberikan hukuman fizikal dan emosi yang berat pada anak. Ini akan hanya menyakiti anak dan bukannya untuk menyedarkan mereka. Proses ini hanya menyuburkan sifat negatif dan dendam dalam diri anak-anak malah lebih malang lagi jika tidak dikawal boleh membawa kepada kecederaan fizikal.
Sekiranya memang wajar anak dikenakan hukuman atas kesalahan berat yang dilakukan, tunggulah sehingga emosi kita stabil. Kita akan bertindak waras dalam keadaan emosi stabil. Apa yang saya pelajari, elakkan ambil keputusan dalam keadaan emosi tidak stabil seperti dalam keadaan terlalu gembira atau terlalu gopoh atau terlalu sedih atau terlalu marah. Ia boleh menyebabkan kita mudah hilang pertimbangan.
Berbalik pada hukuman ke atas si anak, seeloknya dalam keadaan waras, kita menyusun bentuk hukuman atau denda yang sesuai dengan keadaan kesalahan yang dilakukan. Berilah nasihat dan ingatan secara berhikmah. Sebutkan pada anak ketika menjatuhkan hukuman pada mereka bahawa kita tidak berniat untuk menyakiti atau menyusahkan mereka dengan hukuman yang dikenakan. Jika mereka merubah perangai dan kesalahan yang dilakukan maka kita akan lebih menyayangi mereka. Gunakanlah pendekatan mendidik.


KEBIASAAN 32 : MENGEJEK.


Sesetengah ibubapa apabila bergurau dengan anak-anak kadang-kadang mereka tidak menyedari bahan gurauan itu telah membuat anak terasa hati. Sekiranya si anak meminta agar tidak mengejeknya lagi, kita pula dengan rela hati terus membuatkan mereka berasa malu.


KEBIASAAN 33 : MENYINDIR.


Ibu bapa mungkin sekali-sekala tidak dapat menyampaikan apa yang diingini secara baik dan jelas kepada anak-anak. Ini terjadi mungkin atas sebab tidak tahu cara atau kurang masa untuk memahami situasi dan karenah anak-anak. Dalam keadaan yang kurang terkawal, kita mungkin mengungkapkan kata-kata yang pedas dengan maksud menyindir.

Contoh : "Oooo... Baru pulang ye Ahmad!" atau "Ahmad ingat papa dan mama ni tukang jaga pintu tunggu Ahmad balik ye?".

Perbuatan menyindir ini tidak membantu dalam mendidik anak-anak. Sebaliknya, ia seolah-olah mencabar mereka dan membuatkan anak menjauhkan diri dari kita. Tindakan ini boleh menimbulkan rasa sakit hati pada anak dan akan mencetuskan anggapan kita sebagai musuh mereka.


KEBIASAAN 34 : MEMBERIKAN GELARAN YANG BURUK


Ada juga ibu bapa yang suka memberikan gelaran pada anak-anak mereka. Antara contoh gelaran buruk ialah seperti si gendut, si comot, cerewet dan sebagainya. Gelaran ini walau sekadar gurauan tapi boleh memberi kesan negatif kepada psikologi anak khususnya bagi peringkat yang sudah memahami maksud perkataan yang di sampaikan.

Naluri manusia secara umumnya tidak suka pada gelaran buruk yang diberikan kepada mereka. Apatah lagi jika gelaran ini dipanggil di khalayak ramai. Jadi kenapa perlu memberi gelaran buruk pada anak-anak?

Akibat dari gelaran ini, anak-anak akan merasa rendah diri, tidak percaya pada diri sendiri dan benci pada persaingan yang mereka hadapi. Di samping itu, Ingat! Gelaran yang dipanggil pada anak-anak ini juga merupakan satu doa ibu bapa kepada mereka.


KEBIASAAN 35 : MENGUMPAN ANAK YANG SUKA MEMBANTAH


Ketika anak meragam, menangis atau meminta sesuatu dengan cara memaksa, kita segera mengalihkan perhatian mereka kepada barang-barang atau perkara lain. Tujuan tindakan tersebut ialah untuk menghentikan tindakan anak tadi. Contohnya, si anak meragam untuk meminta dibelikan kereta mainan.

Apabila anak sedang memberikan tumpuan pada sesuatu yang diingininya, dia akan menjerat emosi kita serta turut menjadikan emosinya sendiri cukup sensitif.


KEBIASAAN 36 : TELEVISYEN SEBAGAI AGEN PENDIDIKAN ANAK-ANAK


"Siapakah yang mendidik anak-anak kita?" Jawapannya pasti pelbagai dan tidak pasti bagi mereka yang kurang merasa tanggungjawab mendidik anak-anak. Satu kajian di Amerika, sebahagian besar perilaku buruk anak-anak dicetuskan hasil mencontohi apa yang dilihat dalam media visual seperti televisyen.


KEBIASAAN 37 : MENGAJAR SI ANAK BERTINDAK BALAS


Mungkin ada di kalangan anak-anak kita yang memiliki kecenderungan suka membuli dan mungkin juga ada di antara mereka yang selalu dibuli oleh rakan-rakan. Apabila anak kita dibuli atau disakiti, kita akan menjadi tidak sabar dan mengajar anak kita untuk membalas balik tindakan yang dilakukan kepada mereka.


KEBIASAAN 38 (TERAKHIR-MERUPAKAN BONUS DALAM BUKU INI) : MENCELAH PERCAKAPAN


Pada umumnya, kita sebagai ibu bapa mempunyai sikap tidak sabar iaitu segera mencelah percakapan atau penjelasan daripada anak kita. Perkara ini biasa terjadi apabila kita berasa kesal dengan sesuatu tindakan yang anak kita lakukan. Apakah akibat apabila suka memotong percakapan si anak? Anak akan mudah berasa kesal dan mungkin menimbulkan perasaan marah dalam diri mereka.

No comments:

Post a Comment